cover
Uqbah Iqbal

Sejarah Perkembangan Pelaburan Jepun di Singapura (1979-2007)





BookRix GmbH & Co. KG
80331 Munich

Sejarah Perkembangan Pelaburan Jepun di Singapura (1979-2007)

Sebagai negara Asia yang paling maju dalam bidang perusahaan dan dapat disamakan dengan negara-negara Eropah Barat dan Amerika Syarikat, Jepun telah menyalurkan pelaburan yang besar ke Singapura. Ini dilakukannya sebaik sahaja kerajaan Singapura mengambil keputusan untuk meluaskan sektor perusahaan dalam negara dan menjadikannya tunjang pembangunan ekonomi negara dalam tahun-tahun awal enam puluhan. Pembukaan bandar perusahaan Jurong telah menyebabkan pertambahan kilang-kilang dan syarikat-syarikat Jepun yang dibuka di Singapura. Hubungan ekonomi antara Singapura dan Jepun bertambah rapat dan bergerak sejajar dengan perkembangan dan kemajuan yang dicapai oleh Singapura dalam bidang perindustrian. Menjelang bulan Januari 1977, Jepun adalah rakan niaga Singapura yang utama dan negara asing yang paling banyak melabur di sini, diikuti oleh Amerika Syarikat dan Jerman Barat (Berita Harian, 11 Januari 1977).

 

Sebuah syarikat pengeluar karburator untuk gergaji bermotor dari Jepun telah menubuhkan sebuah anak syarikat di Singapura dengan modal berdaftar $2 juta. Syarikat Walbro Singapore Pte Limited merupakan syarikat pertama dan satu-satunya perusahaan di rantau Asia Tenggara yang mengeluarkan alat tersebut. Anak syarikat kepada Walbro Far East Incorporation dari Jepun ini akan mempunyai kilangnya di Kallang Way dan memulakan pengeluaran pada bulan Januari 1979. Dalam tahun pertama pengeluaran, ia akan mempunyai kira-kira 40 orang pekerja termasuk tiga orang juruteknik yang terlatih khas selama enam bulan di Jepun. Alat-alat yang dibuat di sini akan dipasarkan ke negara-negara di Asia, Amerika Utara dan Eropah (Berita Harian, 26 Mei 1978).